Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan sempena Memperingati Hari Keputeraan Baginda ke-79 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.
Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Baginda kemudian berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 21 das. Baginda seterusnya berangkat memeriksa pasukan-pasukan perbarisan.
Acara diteruskan dengan pasukan-pasukan perbarisan dan panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia, panji-panji pasukan ABDB dan Pasukan Polis Diraja Brunei berjalan lalu di depan Pentas Diraja dalam gerak perlahan dan cepat sebelum beratur semula yang diikuti laungan tiga kali daulat untuk Baginda. Pasukan-pasukan perbarisan kemudian mara ke hadapan untuk diperhati semula, Tabik Hormat Diraja dan diikuti terbang lalu pesawat-pesawat ABDB.