Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Haflut Takharruj ke-12 ITQSHHB

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan Syahadah (Sijil) Diploma ‘Aliyah Qira’at kepada 20 graduan, iaitu 15 siswa dan lima siswi, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas hari ini.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB kali ke-12 dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama selaku pengerusi lembaga institut berkenaan, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah Ketua Hakim Syari’e, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi ITQSHHB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Pemangku Pengetua ITQSHHB, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof.

    Majlis dimulakan dengan persembahan hafazan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Balad, ayat 1 hingga 20 dengan Riwayat Al-Bazzi daripada Ibnu Kathir yang disampaikan oleh Dayang Awadah binti Awang Mohamad Ariffin.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bagi bergambar ramai bersama para graduan Haflut Takharruj ke-12 ITQSHHB di ICC, Berakas. – GAMBAR RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sijil Diploma ‘Aliyah Qiraat kepada para graduan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sementara intisari ayat dibacakan oleh Dayang Nurqamariah binti Kepli.

    Pengurniaan Syahadah (Sijil) Diploma ‘Aliyah Qira’at kali ini terdiri daripada 11 penerima pangkat Mumtaz (Cemerlang); enam penerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik); seorang penerima pangkat Jayyid (Baik); dan dua penerima pangkat Maqbul (Lulus).

    Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil graduan Syahadah (Sijil) Diploma ‘Aliyah Qira’at disampaikan oleh Dayang Nurmazrina binti Abdul Mahmod. Manakala bacaan Sayyidul Istighfar dikumandangkan oleh para siswa Tahun 1 Diploma ‘Aliyah Qira’at.

    Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

    Majlis tersebut diadakan bagi meraikan para graduan Syahadah (Sijil) Diploma ‘Aliyah Qira’at dan sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa-siswi khusus dalam bidang Hafazan Al-Quran dan ilmu Qira’at.

    Ini sekali gus merealisasikan visi institut berkenaan sebagai sebuah institusi tahfiz dan perkembangan Al-Quran yang terunggul di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.

    Penubuhan ITQSHHB adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-46 Tahun pada 15 Julai 1992.

    Ia merupakan sebuah institusi pengajian tahfiz Al-Quran di peringkat menengah dan diploma yang menggabungjalinkan hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu Al-Quran sebagai dasar di samping mata pelajaran yang lain.

    Selain itu, ia kini bertambah maju dengan penubuhan Program Diploma ‘Aliyah Qira’at pada bulan Ogos 2010.

    Dari tahun 2014 sehingga sekarang, institut berkenaan telahpun melahirkan seramai 242 orang graduan Diploma ‘Aliyah Qira’at.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda