Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Tahun 2023 Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) di Royal Berkshire Hall, Royal Polo & Riding Club, Jerudong.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah.
Keberangkatan Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja dijunjung oleh naib-naib yang dipertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali.
Pada majlis itu, bacaan surah-surah yang dimulai dengan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.
Kemudian, majlis diikuti dengan doa memulakan bacaan Al-Quran dan takhtim
oleh peserta-peserta khatam yang dipimpin oleh para peserta dari Unit Pemimpin Muda Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Unit Pemimpin Muda Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Pengiran Anak Sarah, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah ke majlis berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani
Terdahulu, Hajah Viviyanti dalam sembah alu-aluannya antara lain menjelaskan, penganjuran Majlis Sambutan Hari Pandu Puteri tahun ini diabadikan sebagai satu persembahan murni pada mengambil sukut sempena Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
“Majlis Hari Pandu Puteri ini juga diselajurkan dengan majlis memperingati sejarah penubuhan PPPBD ke-70 sejak Perlembagaan Pandu Puteri diluluskan di London pada
1951.
“Sejak itu, sejarah PPPBD telah bermula apabila persatuan ini telah didaftarkan di Kuala Belait pada tahun itu juga,” jelasnya.
Pada majlis itu, bacaan Doa Khatam dipimpin oleh Pemimpin Unit Pemimpin Muda UNISSA, Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dipimpin oleh Hajah Fatimah.
Baginda Raja Isteri seterusnya dijunjung memotong kek ulang tahun puja usia.
Majlis sambutan berkenaan merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan yang antara lain bertujuan bagi meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri di samping meraikan dan menghargai sumbangan jasa dan bakti ahli-ahli persatuan yang telah lama berkhidmat bersama persatuan dan aktif dalam kegiatan kepanduan.
Majlis juga memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan sekali gus mendidik ahli dari aspek kerohanian dan mendekatkan diri dengan Al-Quran yang merupakan panduan hidup yang lengkap.
Setakat ini, PPPBD mempunyai seramai 1,500 orang ahli dan sejak penubuhannya, pelbagai kegiatan serta projek kepanduan yang berunsur keagamaan, kenegaraan, kemasyarakatan, kesihatan, pemeliharaan alam sekitar dan kemahiran telah dijalankan.