Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Khatam Al-Quran PPPBD

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah selaku Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Tahun 2025 yang berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh naib-naib yang di-pertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali; Naib Yang Di-Pertua PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali; serta Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

    Sebanyak tiga kumpulan pembaca terdiri daripada ahli majlis jawatankuasa tadbir, pemimpin dewasa dan muda PPPBD telah menyelesaikan bacaan kesemua 30 juzuk Al-Quran bagi kumpulan masing-masing.

    Turut serta ialah ahli-ahli Projek Pencinta Kalam Allah yang melengkapkan bacaan keseluruhan 30 juzuk setiap seorang.

    Majlis dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah dan doa memulakan bacaan Al-Quran beramai-ramai.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah selaku Yang Di-Pertua PPPBD petang kelmarin berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Tahun 2025 di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Tahun 2025. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama ahli-ahli PPPBD. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Antara ahli-ahli PPPBD yang menyertai majlis khatam Al-Quran. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani kemudian memimpin bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Takhtim oleh Dayang Alas Sarirah binti Awang Sulaiman dari Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

    Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman pula memimpin bacaan Doa Khatam Al-Quran, diikuti dengan bacaan Doa Selamat serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Hajah Fatimah.

    Majlis tahunan anjuran PPPBD itu turut diadakan bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, di samping menghargai jasa dan sumbangan ahli-ahli PPPBD yang telah lama berkhidmat serta aktif dalam kegiatan kepanduan.

    Ia juga bertujuan memupuk budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan serta mendidik dari aspek kerohanian agar lebih mendekatkan diri kepada kitab suci sebagai panduan hidup yang lengkap.

    PPPBD ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 1951 kini mempunyai lebih 1,500 orang ahli. Sejak penubuhannya, persatuan tersebut aktif menjalankan pelbagai kegiatan berunsur keagamaan, kenegaraan, kemasyarakatan, kesihatan, pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan sahsiah ahli, khususnya bagi memperkasa golongan perempuan selaras dengan matlamat Empowering Young Women and Girls.

    Sebagai entiti negara, PPPBD turut melambangkan dan menyebarkan tradisi masyarakat Brunei serta menyokong objektif World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) dengan penyertaan aktif ahli dan sokongan padu daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, Penaung Diraja PPPBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda