Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UTB ke-11, bagi meraikan seramai 397 orang graduan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, serta Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan disusuli dengan keberangkatan perarakan canselor memasuki Dewan Plenari, yang didahului bentara menjunjung Mushaf Al-Quran.
Selesai perarakan canselor, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan dan kemudian dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Jatsiah, ayat 11 hingga 15 oleh Awang Muhammad Wafiy bin Haji Morsidi, graduan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Rangkaian Perkomputeran.
Manakala itu, inti sari ayat dibacakan oleh graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dalam Kewangan dan Pengurusan Risiko, Awangku Ahmadi bin Pengiran Idrus.
Naib Canselor UTB dalam sembah alu-aluannya antara lain menekankan, pengeluaran graduan UTB bergantung kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran, di mana dapat disukat melalui pasaran pekerjaan.
“Alhamdulillah setakat ini, seramai 77.8 peratus graduan daripada kohort 2022 telah diambil bekerja pada tahun ini. UTB juga memperoleh kedudukan ke-226 dalam Employment Outcomes QS Global, di mana tumpuan penilaian adalah kepada penyediaan kerjaya pelajar selepas tamat pengajian,” kongsi beliau.
Majlis turut menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Inovasi Teknologi kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota diikuti dengan lafaz Titah Kuasa Canselor UTB bagi mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda kepada graduan yang diraikan.
Daripada jumlah graduan yang diraikan, 11 merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, 82 graduan Ijazah Sarjana dan 304 graduan Ijazah Sarjana Muda.
Setakat ini, UTB telah melahirkan seramai 5,141 graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan BDTVEC, 295 graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan Tahap Lima, 2,817 graduan Ijazah Sarjana Muda, 514 graduan Ijazah Sarjana dan 21 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah daripada pelbagai bidang Kejuruteraan, Perdagangan, Perkomputeran dan Informatik, Sains Gunaan dan Matematik, Reka Bentuk, serta Pusat Perhubungan, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL).