Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Santap Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-51 tahun, yang dianjurkan oleh JPM di Bangunan JPM.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Turut menjunjung, ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Setia Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung untuk bergambar ramai, sebelum berangkat ke Galeri Pesambah bertempat di East Wing, di mana sambutan Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia dimeriahkan dengan upacara memotong kek.
Duli Yang Teramat Mulia juga menerima kad sembah ucapan daripada JPM dan pesambah daripada 11 buah agensi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan tinggi dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat ke Dewan Bankuet bagi Majlis Santap yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Sementara itu, pada sebelah petang Duli Yang Teramat Mulia bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia anjuran Kementerian Pertahanan di Mes Pegawai Bolkiah Garison. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan isteri.
Turut menjunjung, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan isteri.
Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia serta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik kemudian dijunjung untuk menyertai sesi bergambar ramai dan seterusnya disembah kenalkan kepada anggota-anggota ABDB yang mengikuti penugasan misi pengaman di dalam Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL); dan anggota-anggota yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) Operasi Badai Taduh di Republik Filipina.
Turut disembah kenalkan, penerima-penerima RBAF Australia’s OBOE Endeavour Academic Excellence Award bagi Kursus Maktab Turus ABDB ke-14 Tahun 2024; pegawai-pegawai yang telah menamatkan Kursus Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Malaysia Tahun 2024 dan Kursus Lanjutan Maktab Turus di Kolej Maktab Turus Pertahanan New Zealand; pegawai-pegawai pemerintah yang telah terlibat dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC 2024) di Hawaii, Amerika Syarikat dan anggota-anggota ABDB yang telah menyertai Pertandingan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa bagi Tentera kali ke-10 di Arab Saudi.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya disembahkan dengan tayangan klip video dan sebuah buku Sejambak Ristaan XVIII yang mengandungi koleksi gambar-gambar kenangan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke acara-acara Kementerian Pertahanan di sepanjang tahun 2024 hingga Januari 2025.
Majlis disusuli dengan penandatanganan lembaran keberangkatan sebelum berangkat ke ruang khas bagi majlis santap.
Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota turut dimeriahkan dengan upacara memotong kek puja usia, di mana Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima pesambah daripada seluruh warga ABDB yang bertemakan Mengintegrasikan Teknologi Ke arah Gaya Hidup yang Lebih Sihat.
Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai-pegawai dan anggota-anggota ABDB.