Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong petang tadi sebagai simbolik menyambut kedatangan Tahun Baharu Hijrah 1447, dalam Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah Peringkat Negara.

    Berangkat ke majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Berangkat sama, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, selaku penasihat bersama; dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi majlis.

    Turut hadir ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; serta Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah sebanyak tiga kali, dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, sebelum disusuli dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah. Seterusnya, Doa Awal Tahun Hijrah 1447 dibacakan sebanyak tiga kali oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang juga memimpin bacaan Doa Selamat selepas sembahyang Sunat Hajat berjemaah. Majlis yang bertemakan Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan itu dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, sebagai tanda syukur menutup tahun 1446 Hijrah dan menyambut kedatangan tahun baharu dengan penuh keinsafan dan keazaman untuk membina kehidupan yang lebih berkat dan sejahtera.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah yang hadir di sambutan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1447 Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, semalam. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara jemaah yang hadir bagi menyemarakkan Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1447, semalam. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda