Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-33, Tahun 2023 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas diadakan sebagai memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di negara ini.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Sambutan berkenaan juga adalah sebagai usaha untuk memartabatkan kerjaya perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia di negara ini pada setiap 23 September.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, selaku pengerusi bersama majlis serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-33, Tahun 2023.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah serta diikuti dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Qalam (ayat 1 hingga 7) disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah
(ITQSHHB), Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili sementara intisari ayat disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, ITQSHHB, Awang Muhammad Najib bin Haji Aliakbar.
Majlis diteruskan dengan tayangan klip video Hari Guru yang mengongsikan perjalanan, pengorbanan dan perkembangan seorang guru sepanjang kerjayanya sebagai pendidik diikuti dengan montaj inisiatif para guru di negara ini sebagai pemacu transformasi dalam memberikan pendidikan yang berkualiti demi menghasilkan insan-insan yang cemerlang.
Sejurus itu, majlis diserikan dengan persembahan lagu Hari Guru ke-33 yang diilhamkan sempena Maulidur Rasul bertajuk ‘Murabbi Ya Muhammad’ dan lagu-lagu medley bertajuk ‘Terima Kasih Cikgu’, ‘Guru Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar’, ‘Jasamu Terpatri’ dan ‘Guru Ku Harapan Negara’.
Pasukan persembahan terdiri daripada 32 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti
Brunei Darussalam (UBD) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) serta para pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Sekolah Rendah Mulaut, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Ugama Anggerek Desa.
Baginda seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah Hari Guru ke-33 kepada para penerima yang terdiri daripada dua orang penerima Anugerah Guru Berjasa, lapan penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 29 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru.
Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian berkenan dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan ahli-ahli jawatankuasa
tertinggi.
Pada majlis itu, Baginda Sultan berkenan menyempurnakan pelancaran Pelan Strategik 2023-2027 Kementerian Pendidikan dan pelancaran buku bergambar bertajuk Education Resilience: Brunei Darussalam’s COVID-19 Journey.
Seterusnya, Baginda dijunjung berangkat menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Guru ke-33 di ruang legar pusat berkenaan.
Sebelum berangkat meninggalkan ICC, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi dari
pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.