Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-35

    Oleh Sim Y. H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Sambutan Hari Guru yang diraikan pada setiap 23 September ialah sebagai memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di Negara Brunei Darussalam.

    Sambutan itu juga sebagai usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia di negara ini dan bagi sambutan tahun ini, tema yang diketengahkan ialah Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi serta ditambah dengan subtema yang menumpukan kepada Memperkasa Pendidik Menginspirasi Masa Depan Hijau.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-35 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Berkenan berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi bersama majlis serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Haji Guru Negara Brunei Darussalam ke-35, 2025.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-35 di Dewan Plenari, ICC, Berakas. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung menyempurnakan pelancaran buku panduan GenAI Guidance for Education. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah Hari Guru ke-35 pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara guru yang hadir pada majlis sambutan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Baginda Sultan, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah ayat 269, Surah Al-Mujadalah ayat 11, Surah Al-A’raf ayat 31 dan Surah Al-Ruum ayat 41 hingga 42 oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Mohd Zul-Hafiz bin Haji Tengah.

    Manakala, inti sari ayat disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Fuad bin Matahir.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sembah alu-aluan, diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Majlis diteruskan dengan tayangan klip video Hari Guru yang menampilkan komitmen, dedikasi dan kasih sayang para guru dalam membimbing pelajar. Meskipun berdepan pelbagai cabaran, sokongan serta bimbingan para guru terus menjadi sumber kekuatan sehingga membolehkan para pelajar berjaya menamatkan perjalanan pendidikan mereka, sejajar dengan aspirasi negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan utama iaitu nyanyian kompilasi lagu-lagu medley bertajuk Guru Oh Guru, Jasamu Guru dan Terima Kasih Cikgu, diikuti dengan lagu Hari Guru ke-35 bertajuk Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi. 

    Persembahan berkenaan merupakan gabungan 32 orang pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Rendah Beribi Telanai dan Sekolah Seri Mulia Sarjana.

    Seterusnya, Baginda Sultan berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah Hari Guru ke-35 kepada para penerima yang terdiri daripada seorang penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) iaitu Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, empat orang penerima Anugerah Guru Berjasa iaitu Dato Paduka Haji Mohd Daud bin Haji Mahmud, Hajah Norjum binti Haji Yusop, Dato Paduka Dr Haji Omar bin Haji Khalid dan Hajah Mas Tuyah binti Abdul Ghani, sembilan orang pe-nerima Anugerah Guru Cemerlang iaitu Profesor Dr Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman, Dayang Rasimah binti Haji Abang, Chow Shean Jen, Dayang Erna Surayana binti Haji Abdul Rahman, Tan Chun Yang, Dayang Norsam @ Nurul ‘Aliyah binti Haji Serudin @ Sarudin, Dayang Amal Nabilah binti Haji Suhaimi, Awang Abu Mah Da bin Haji Abdul Wahab dan Dayang Surayati binti Haji Aman serta 30 orang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

    Di akhir majlis, Baginda Sultan serta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35.

    Baginda Sultan seterusnya dijunjung menyempurnakan pelancaran buku panduan bertajuk GenAI Guidance for Education.

    Buku panduan itu menerangkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) dapat memperkukuh pengajaran, pembelajaran, dan pentadbiran pendidikan dengan berlandaskan nilai serta jati diri negara, di mana etika sentiasa menjadi asas yang tidak boleh diketepikan.

    Baginda Sultan juga berkenan berangkat menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Guru Ke-35 di ruang legar.

    Tema pameran bagi Sambutan Hari Guru ke-35 ialah Pengajaran Masa Hadapan: Kemampanan Pendidikan, dengan konsep pameran yang menumpukan kepada Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) dan Pelan Pendidikan Hijau yang melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah rendah, menengah, institusi vokasional dan teknikal serta pengajian tinggi, yang menjurus kepada dua bahagian selaras dengan tema sambutan iaitu ruang centrepiece dan ruang pameran.

    Di ruang centrepiece, Baginda Sultan berkenan menyaksikan pameran petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Syair Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

    Manakala itu, ruang pameran, memaparkan pelbagai peranan penting, bermula daripada peringkat rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam melaksanakan inisiatif ke arah kemampanan pendidikan bagi mendukung ESD dan Pelan Pendidikan Hijau, Kementerian Pendidikan.

    Sebelum berangkat meninggalkan ICC, Baginda Sultan juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda