Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Sambutan Hari Puja Usia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri ke-79 yang disembahkan oleh Kumpulan Isteri-isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu (KI) bertempat di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Jerudong Polo and Riding Club, Jerudong.

    Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, yang juga Pengerusi Kedua Kumpulan Isteri Bersama Isteri-isteri menteri dan timbalan menteri.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; bersama setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Urustadbir Perkhidmatan Awam di JPM.

    Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Raja Isteri bersama kerabat diraja dijunjung bagi mengabadikan gambar kenangan bersama ahli-ahli kumpulan. Majlis dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Datin Hajah Nahriah, yang antara lain merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri atas limpah kurnia perkenan Baginda berangkat ke majlis tersebut. Dalam sembah alu-aluannya, Datin Hajah Nahriah turut mendoakan agar Baginda Raja Isteri dikurniakan usia yang berkat, kesihatan, keselamatan, keamanan serta kebahagiaan yang berpanjangan.

    Baginda Raja Isteri kemudiannya berkenan memotong kek dan menerima pesambah daripada KI. Turut disembahkan ialah pesambah khas daripada JPM berupa Majalah Terbitan Khas, Junjung Kasih Permaisuri, ditaja oleh DST Sdn Bhd.

    Majlis diserikan dengan tayangan video sorotan khas bertajuk Permaisuri Berkarisma Inspirasi Rakyat bersempena Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri ke-79 yang diterbitkan oleh JPM. Majlis turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan istimewa, termasuk lagu yang digubah khas sempena sambutan ulang tahun Baginda, berjudul Payung Mahkota, yang dipersembahkan oleh para anggota KI.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan bergambar ramai semasa Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri ke-79 yang disembahkan oleh KI, kelmarin. Berangkat sama ialah YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah; YAM Pengiran Bini Hajah Faizah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda