Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang Sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-51 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita, PPDB dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Polis, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan isteri serta Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan isteri.
Pada majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan untuk menandatangani lembaran kenangan dan disusuli dengan sesi bergambar ramai diikuti dengan upacara memotong kek hari puja usia yang diiringi dengan nyanyian puja usia yang disampaikan oleh pasukan koir terdiri daripada pegawai-pegawai PPDB.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah daripada Pemangku Pesuruhjaya Polis.
Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia serta kerabat diraja yang lain kemudiannya dijunjung ke Pentas Bankuet bagi Majlis Santap.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Seluruh warga PPDB berserta keluarga dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan ucapan Selamat Hari Puja Usia ke-51 kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia serta memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar sentiasa melimpahkan rahmat dan mengurniakan kesihatan kepada Duli Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja.