Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Rafi Rosli
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin, berkenan berangkat ke majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

Majlis tahlil berkenaan adalah khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Pada majlis tersebut, bacaan tahlil dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang juga seterusnya membacakan Doa Tahlil diikuti dengan Doa Allah Peliharakan Sultan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menjirus air asah-asahan ke makam ayahanda, bonda dan anakanda Baginda, diikuti oleh paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda.
Turut hadir ialah pengiran-pengiran ceteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat , timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pedalaman, setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, mantan pemerintah-pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, ahli-ahli lembaga pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta para jemputan khas.