Friday, November 22, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Perbarisan Raksasa HUT ABDB

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini ber-kenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-62 di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

    Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Sejurus ketibaan, Baginda Sultan dijunjung beredar ke Kompleks Sukan TUDB bagi menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa barisan pasukan-pasukan perbarisan raksasa seramai 931 orang anggota ABDB yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), TUDB, berserta rombongan Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Panji-Panji Pasukan ABDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK), Askar Wanita, gabungan Pancaragam ABDB dan Serunai dan Tambur TDDB, serta kenderaan dan kelengkapan ABDB di bawah Pemerintah Perbarisan, Leftenan Kolonel (Udara) Muhammad Walee bin Haji Roslie.

    Upacara kemudian disusuli dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh pasukan-pasukan perbarisan dengan membawa Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Panji-Panji Pasukan ABDB dan diikuti dengan perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-62 di Pangkalan Tentera Udara Rimba, TUDB.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bagi memeriksa perbarisan.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa perbarisan semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-62, kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan berangkat bagi santap tengah hari.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memotong kek Sambutan HUT ABDB ke-62.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai semasa berangkat menyaksikan Pameran Pesawat Tentera.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta kerabat-kerabat diraja berkenan dijunjung bagi beramah mesra.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta kerabat-kerabat diraja berkenan berangkat bagi menyaksikan Pameran Pesawat Tentera.

    Baginda juga berkenan mengurniakan titah yang diikuti dengan tiga kali laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ daripada Perbarisan Raksasa ABDB yang disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Bagi memberkati upacara tersebut, doa telah dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

    Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan lagi dengan Tabik Hormat Diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat Blackhawk dan CN-235 TUDB.

    Sejurus terbang lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berangkat ke Military Apron Hangar B bagi menyaksikan Pameran Statik Keupayaan Tentera dari unit-unit ABDB menggunakan kenderaan Light Tactical All-Terrain Vehicle (LT-ATV).

    Baginda dan kerabat diraja turut berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi penerjunan static airborne daripada gabungan 31 anggota terdiri daripada RPK dan Skuadron 31 TUDB yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Skuadron 31 TUDB, Kapten Ali Saufi bin Haji Ali Safian.

    Baginda Sultan dan kerabat diraja seterusnya berkenan berangkat menyaksikan pameran-pameran statik Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Kementerian Pertahanan dan keupayaan-keupayaan terbaharu daripada TDDB, TLDB dan RPK. Semasa berangkat ke pameran tersebut, Baginda berkenan merasmikan Skuadron Pesawat Taktikal Armada, TLDB.

    Baginda Sultan dan kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Pesawat Tentera yang menampilkan pesawat-pesawat dari TUDB bersama-sama Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Philippines Air Force (PAF), Royal Australian Air Force (RAAF), Royal Air Force, United Kingdom (RAF), Republic of Singapore Air Force (RSAF) dan United States Air Force (USAF).

    Penglibatan daripada negara-negara sahabat dalam sama-sama memeriahkan Sambutan HUT ABDB pada tahun ini mencerminkan hubungan profesionalisme dan diplomasi pertahanan yang kukuh lagi erat yang terjalin antara ABDB dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa khususnya dalam menjaga keamanan dan keselamatan di rantau ini.

    Baginda Sultan dan kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Statik Industri Pertahanan yang terdiri daripada syarikat-syarikat industri pertahanan antarabangsa dari Amerika Syarikat, Australia, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Jepun, Malaysia, Republik Persekutuan Jerman, Kerajaan Sepanyol, Republik Singapura dan Kerajaan Thailand.

    Pameran berkenaan menampilkan teknologi terkini yang boleh membantu ABDB dalam usaha memperkembangkan keupayaan dan memantapkan kekuatan pertahanan negara.

    Baginda kemudiannya dijunjung untuk beramah mesra bersama pegawai dan anggota yang telah menamatkan Misi Independent Decommis-sioning Body Verification and Monitoring Assistance Team (IDB VMAT) 4/2022 di Republik Filipina dan Misi Pengaman United Nations Interim Forces in Lebanon (UNIFIL) bagi Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan dan diteruskan dengan sesi bergambar ramai.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Hangar B bagi Majlis Santap Tengah Hari.

    Sejurus ketibaan, Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung untuk bergambar ramai bersama mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan dan mantan-mantan Pemerintah ABDB berserta pegawai-pegawai dan lain-lain peringkat ABDB, dan diikuti dengan sesi ramah mesra bersama anggota yang terlibat dalam Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III, King of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland; peserta-peserta kursus antarabangsa yang mengikuti All Arms Staff and Tactic Course (AASTC) di Sekolah Infantri TDDB dan Kursus Maktab Turus di Akademi Pertahanan ABDB; pegawai-pegawai kadet luar negara yang sedang menjalani latihan Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-22 di Sekolah Pegawai Kadet; dan penasihat-penasihat atau atase pertahanan negara-negara sahabat ke Negara Brunei Darussalam termasuk mereka yang diakreditasi dan menetap di luar negara.

    Akhir sekali, Baginda dan kerabat diraja dijunjung bagi Upacara Memotong Kek sempena Sambutan HUT ABDB ke-62, seterusnya menerima pesambah daripada gabungan pegawai-pegawai dan lain-lain peringkat ABDB. Ini diikuti dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pengarah JAMA’AT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda