Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, berkenan berangkat ke rumah terbuka Presiden Dewan Perniagaan Cina Brunei dan Pendaftar Perkahwinan Cina Brunei, Lim Han Chiong di Kampung Telanai pada hari pertama Tahun Baru Cina (TBC), kelmarin.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Lim Han Chiong menyembahkan ucapan menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia bersama anakanda-anakanda ke rumah terbuka sempena TBC.
Beliau semasa ditemu bual antara lain telah menyatakan harapan Tahun Ular ini akan melihat perniagaan di negara ini menjadi semakin baik, walaupun terpaksa menghadapi cabaran ekonomi semasa, selain mengingatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan.
Beliau seterusnya berharap agar cabaran dalam perniagaan terutama dalam sektor runcit dapat ditangani dan mengubah cabaran itu kepada peluang perdagangan.
Sebagai peniaga, jelasnya, kita mesti tahu bagaimana untuk mengubah keadaan ini iaitu dengan menjadi kreatif, inovatif dan merancang ke hadapan apa jua yang kita mampu.
Beliau seterusnya merafak sembah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda yang telah membantu dalam persekitaran perniagaan, kerana tanpa sokongan kerajaan pastinya sukar untuk maju.
Selain beliau berharap agar dapat terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan untuk mencapai perniagaan yang lebih makmur dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Berharap kepada persekitaran perniagaan yang lebih baik pada Tahun Ular ini dan saya juga berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja sentiasa diberikan kesihatan, panjang umur dan kemakmuran,” tambahnya.