Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Upacara Pentauliahan Kapal Peronda AS-SIDDIQ

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar Infofoto dan Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Upacara Pentauliahan Kapal Peronda Kapal Diraja Brunei AS-SIDDIQ di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Jeti Bravo dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen dan lapisan kepimpinan Kementerian Pertahanan Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan Republik Singapura, dan juga Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS) iaitu Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Melvyn Ong Su Kiat, Pemerintah ABRS, Laksamana Muda Sean Wat Jianwen, Pemerintah Tentera Laut Republik Singapura (TLRS), Kepten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin, TLDB, Pemangku Pemerintah TLDB.

    Upacara dimulakan dengan Baginda Sultan menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa kawalan kehormatan yang merangkumi 110 anggota TLDB yang diketuai Leftenan Komander Ahmad Afifi bin Awang Antin.

    Upacara diteruskan dengan menjunjung Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Dais Pentauliahan di mana bacaan Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan mengurniakan Titah Pentauliahan dan juga mengurniakan Commissioning Pennant kepada KDB AS-SIDDIQ yang diterima oleh Pegawai Pemerintah KDB AS-SIDDIQ, Leftenan Komander Haji Mohammad Arnold bin Haji Osman.

    Upacara dilanjutkan dengan pengibaran Commissioning Pennant dan panji-panji TLDB di atas KDB AS-SIDDIQ yang diiringi dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan laungan azan bagi memberkati pentauliahan KDB AS-SIDDIQ.

    Kemudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi tinjauan kapal KDB AS-SIDDIQ, sejurus bacaan Doa Selamat dibacakan oleh pengarah JAMA’AT. Upacara Pentauliahan berakhir dengan sesi bergambar ramai di Jeti Bravo berlatar belakangkan KDB AS-SIDDIQ dan seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Mes Pegawai TLDB bagi sesi eksekutif bersama pemimpin-pemimpin dari Kementerian Pertahanan, Angkatan Bersenjata dan Tentera Laut kedua-dua pihak dan diteruskan dengan Majlis Santap Tengah Hari.

    Penyerahan kapal peronda milik TLRS tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai RSS BRAVE adalah tanda penghargaan dan persahabatan hasil dari kerjasama erat di antara Angkatan Bersenjata dan Tentera Laut kedua-dua pihak.

    Perkataan AS-SIDDIQ yang dipilih dari bahasa Arab yang membawa maksud ‘benar’, mempunyai makna yang mendalam yang melambangkan hubungan dua hala yang kukuh di antara TLDB dan TLRS.

    Selama bertahun-tahun, Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura telah bekerjasama dengan rapat, yang dibina atas asas kepercayaan, saling hormat-menghormati dan persefahaman. Ciri-ciri ini akan terus memainkan peranan penting dalam memperkuatkan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam tahuntahun mendatang.

    Upacara Pentauliahan KDB AS-SIDDIQ merupakan peristiwa penting dan bermakna dari segi diplomasi pertahanan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. Juga menjadi sejarah penting di dalam perkembangan TLDB dan juga ABDB.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung bagi tinjauan kapal KDB AS-SIDDIQ, di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara, kelmarin.

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda