Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke upacara perbarisan HUT ABDB

    Oleh Normazlina M.D & Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    TUTONG, 1 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pagi tadi, telah berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-57 tahun, di Penanjong Garison.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan telah dijunjung oleh Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

    Sejurus berangkat tiba, Baginda Sultan berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa pasukan-pasukan perbarisan besar-besaran yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB, Pasukan Askar Wanita dan Pasukan Pancaragam ABDB.

    Kemudian, acara disusuli dengan perbarisan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh pasukan-pasukan perbarisan yang membawa panji-panji pasukan ABDB.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan memeriksa pasukan-pasukan perbarisan.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Lencana Penerbangan kepada DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Bilah dan DYTM Paduka Seri Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima junjung ziarah.
    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan pameran statik.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Bilah berkenan menyaksikan pameran statik.
    DYTM Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyaksikan pameran statik.

    Selepas pergerakan perbarisan dan pasukan-pasukan perbarisan beratur semula, Baginda Sultan seterusnya dijunjung untuk mengurniakan titah yang diikuti dengan tiga kali laungan daulat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan bacaan Doa Selamat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menerima Tabik Hormat Diraja, diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB.

    Selepas upacara perbarisan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan paduka-paduka anakanda Baginda dijunjung bersemayam di Bilik Rehat khusus di Markas IL ABDB, Penanjong Garison sebelum dijunjung berangkat bagi menyaksikan Pameran Statik daripada unit-unit ABDB dan Kementerian Pertahanan.

    Baginda Sultan seterusnya dijunjung berangkat ke Dewan Gerak Badan dan Kolam Renang IL ABDB bagi beramah mesra bersama ahli-ahli persatuan parajurit dan bekas anggota ABDB dan seterusnya berangkat ke Mini Stadium Penanjong Garison bagi menyaksikan persembahan arena.

    Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung berangkat ke Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan Penanjong Garison, IL ABDB bagi majlis junjung ziarah bersama pegawai-pegawai tidak bertauliah kanan ABDB dan seterusnya menerima pesambah.

    Kanak-kanak diberi peluang menaiki kenderaan tentera yang dipamerkan.

    Majlis turut menyaksikan penandatanganan lembaran kenangan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan berangkat ke Dewan Nikmat Penanjong Garison bagi majlis junjung ziarah bersama pegawai-pegawai tidak bertauliah rendah ABDB dan seterusnya berkenan berangkat ke Mes Pegawai Penanjong Garison bagi majlis beramah mesra bersama pegawai-pegawai ABDB.

    Baginda Sultan seterusnya dijunjung bersemayam di bilik rehat khusus di Mes Pegawai Penanjong Garison bagi mengurniakan Lencana Penerbangan kepada DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan memotong Kek Ulang Tahun ABDB ke-57 tahun dan kemudiannya berkenan menerima pesambah.

    Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ yang diselaraskan dengan tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’ yang menggariskan komitmen berterusan ABDB sebagai tonggak pertahanan dan keselamatan negara, dalam mendukung kemajuan dan pembangunan negara secara holistik, dengan memastikan persekitaran yang aman dan damai melalui pertahanan dan sekuriti yang jitu.

    Acara ini secara tradisinya diadakan pada setiap 31 Mei, namun ia telah ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda