Oleh Sim Y. H –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Laungan takbir ‘Allahuakhbar’ sebanyak tiga kali yang berkumandang di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien merupakan tanda hormat serta setia kepada raja dan negara oleh peserta yang menyertai Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41) dengan mendukung semangat, Bersatu Mencapai Cita Negara.
Sambutan itu merupakan satu titik noktah yang penting dalam sejarah negara setelah 41 tahun meraikan kemerdekaannya, Brunei telah menikmati pembangunan yang pesat dan kemakmuran negara, hasil daripada usaha gigih rakyat dan penduduk serta kerajaan dalam memastikan negara akan terus menjadi sebuah negara makmur dan harmoni serta terus memainkan peranan yang penting di dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menghadiri Upacara Perhimpunan Agung Sambutan HK-41 yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan serta kerabat diraja menerima Hormat Diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan.
Baginda Sultan kemudian dijunjung memeriksa pasukan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei sebelum berangkat semula ke pentas diraja.
Baginda Sultan sekali lagi menerima hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum pasukan perbarisan kawalan kehormatan keluar dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian menyaksikan upacara perbarisan lalu di hadapan pentas diraja yang melibatkan penyertaan sebanyak 185 buah pasukan dalam tiga kumpulan yang melibatkan seramai kira-kira 11,000 orang peserta.
Kumpulan A melibatkan tujuh pasukan yang terdiri daripada kepala perbarisan didahului pembawa bendera besar, diikuti pasukan pembaca ikrar dan pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam dan Logo Sambutan Ulang Tahun HK-41.
Kumpulan A juga melibatkan pasukan beruniform, pasukan kadet dan persatuan beruniform, pasukan sektor awam, pasukan jabatan daerah-daerah serta pasukan badan berkanun dan diikuti dengan persembahan Permata Bangsa.
Perbarisan Kumpulan B merangkumi pasukan institusi pengajian tertinggi, pasukan pendidikan vokasional dan institusi pengajian tinggi swasta, pasukan pendidikan agama, pasukan pendidikan menengah Kluster 1, pasukan pendidikan menengah Kluster 2, pasukan pendidikan menengah Kluster 3, pasukan pendidikan menengah Kluster 4, pasukan pendidikan menengah Kluster 5, pasukan pendidikan menengah Kluster 6 serta pasukan pendidikan swasta dan persembahan nyanyian lagu patriotik.
Kumpulan C merangkumi pasukan orang kelainan upaya dan warga emas, pasukan gabungan warga negara sahabat, pasukan gabungan persatuan sukan kebangsaan, pasukan gabungan persatuan belia dan komuniti, pasukan gabungan persatuan-persatuan umum, pasukan gabungan institusi kewangan, pasukan gabungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pasukan gabungan industri minyak dan gas, pasukan gabungan syarikat-syarikat swasta, pasukan cemerlang serta pasukan tujuh puak jati Brunei.
Acara diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan telah diketuai oleh Pegawai Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Zainul Ghazi bin Haji Johari yang disusuli dengan laungan ‘Allahuakbar’ sebanyak tiga kali oleh para peserta dan mereka yang hadir di upacara itu.
Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan persembahan tema, Bersatu Mencapai Cita Negara dan Darussalam Gemilang di mana ia mengetengahkan persembahan lagu-lagu patriotik yang dipersembahkan oleh seramai 5,000 orang pelajar sekolah menengah, maktab, pengajian tinggi dan seramai 2,400 orang pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta.
Selepas persembahan tema, lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan dinyanyikan dan terbang lalu oleh Tentera Udara Diraja Brunei yang melibatkan empat buah helikopter S70i dan sebuah pesawat, C295 MW.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan dan kerabat diraja berkenan bercemar duli dan menerima junjung ziarah daripada peserta-peserta persembahan serta Sambutan Ulang Tahun HK-41.