Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan mengurniakan lencana pangkat kepada paduka anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ’Abdul Mateen yang telah dinaikkan ke pangkat mejar tetap.
Turut berangkat pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai Bolkiah Garison itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Ketibaan Baginda dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
Sejurus tiba di Mes Pegawai Bolkiah Garison, Baginda berkenan mengurniakan lencana pangkat kepada DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ’Abdul Mateen, di mana kenaikan pangkat tersebut berkuat kuasa mulai hari ini.
Di majlis yang sama, Baginda Sultan juga berkenan mengurniakan tanda pangkat kepada seramai 26 orang pegawai kanan ABDB.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, Tentera Laut Diraja Brunei.
DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen merupakan seorang pegawai tentera yang berkaliber tinggi serta memiliki sifat berani dan telah berjaya meraih beberapa pencapaian yang signifikan semenjak Duli Yang Teramat Mulia lulus mengikuti kursus pegawai kadet dengan cemerlang di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.
Duli Yang Teramat Mulia menjalani Latihan Penerbangan Single Engine Rotary Wing (SERW) di Royal Air Force (RAF) Shawbury, United Kingdom pada September 2017 dan telah menerima lencana juruterbang RAF pada 29 Mac 2018.
Kemudian pada 1 Julai 2018, Baginda Sultan telah berkenan menganugerahkan lencana juruterbang Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) kepada Duli Yang Teramat Mulia semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-57.
Pada masa ini, Duli Yang Teramat Mulia telah pun lulus mencapai taraf kategori yang berkelayakan untuk menerbangkan pesawat S70i Blackhawk pada waktu siang dan malam.
DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen menjadi anggota Rejimen Pasukan Khas secara rasmi pada 28 Oktober 2019.
Pada 2019, Duli Yang Teramat Mulia telah mengikuti Kursus Asas Airborne Static Line dan Free Fall yang melayakkan Duli Yang Teramat Mulia untuk melakukan penerjunan dari pesawat.
Perkembangan kerjaya DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen di dalam ABDB terus melangkah maju di mana Duli Yang Teramat Mulia juga mendapat keputusan cemerlang dengan mendapat markah penuh 100 peratus semasa menjalani Ujian Penilaian Kecergasan Individu Siri 1/2020 bagi Peperiksaan Kenaikan Pangkat Kapten ke Mejar bagi Special to Service (Aircrew) pada 28 Julai 2020.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen kemudiannya dijunjung untuk menikmati santap ringan bersama pegawai-pegawai kanan ABDB yang dinaikkan pangkat.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai kenangan bersama ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama dan para pegawai kanan yang dinaikkan pangkat.