Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan kurnia surat watikah dan terima surat tauliah pelantikan

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap TYT Michael Neil Hoy. – Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan ke Negara Brunei Darussalam yang baharu pada majlis yang diadakan di Istana Nurul Iman.

    Baginda Sultan berkenan menerima mengadap PYT Pengiran Hairani dan PYT Dayang Hajah Nor Huda. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Baginda Sultan berkenan menerima mengadap PYT Naureen Ahsan. Gambar oleh Muiz Matdani

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada wakil tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, Puan Yang Terutama Pengiran Hairani binti Pengiran Tajuddin dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amman, Kerajaan Hasyimiah Jordan, Puan Yang Terutama Hajah Nor Huda binti Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Ahmad.

    Baginda Sultan seterusnya berkenan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook; Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Naureen Ahsan; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Datuk Mohd Aini Atan; Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, TYT Janbaz Khan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, TYT Kikuta Yutaka; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Michael Neil Hoy dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, TYT Chey Ratha.

    Baginda Sultan berkenan menyembahkan surat tauliah pelantikan TYT Chey Ratha. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Baginda Sultan berkenan menyembahkan surat tauliah pelantikan kepada TYT Kikuta Yutaka. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Selepas Majlis Mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan dan Majlis Menyembahkan Surat-surat Tauliah Pelantikan, Baginda berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik serta ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.

    Baginda Sultan erkenan menyembahkan surat tauliah pelantikan kepada TYT Janbaz Khan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Baginda Sultan berkenan menyembahkan surat tauliah pelantikan kepada TYT Datuk Mohd Aini Atan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Baginda Sultan berkenan menyembahkan surat tauliah pelantikan kepada TYT Sun Nahmkook. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Dato Paduka Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd Taib dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM selaku Pemangku Grand Chamberlain, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda