Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan kurnia surat watikah dan terima surat tauliah pelantikan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik dan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan ke Negara Brunei Darussalam yang baharu, di majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, kelmarin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Adnan bin Haji Mohd Ja’afar, diikuti dengan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Tuan Yang Terutama Wan Hadfi Lutfan bin Haji Abdul Latif, dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kuwait, Tuan Yang Terutama Haji Sulaini bin Haji Said.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kuwait, Tuan Yang Terutama Haji Sulaini bin Haji Said.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Kanada, Puan Yang Terutama Ang Lay Ling.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, Puan Yang Terutama Siti Arnyfariza. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Baginda seterusnya berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Kapten (B) Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matseruddin, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Kanada, Puan Yang Terutama Ang Lay Ling, dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, Puan Yang Terutama Siti Arnyfariza binti Haji Mohd Jaini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Sein Oo, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak, Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tamer Mansy, dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Weert Börner.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Selepas Majlis Mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan dan Majlis Menyembahkan Surat-surat Tauliah Pelantikan, Baginda berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik serta Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.

    Turut hadir di Majlis-majlis tersebut, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof,  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos,  Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Dato Paduka Awang Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Awang Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd Taib, dan Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, selaku Pemangku Grand Chamberlain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda