BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang kelmarin, berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada duta-duta besar Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan yang baharu ke Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama (TYT) Pengiran Haji Mustapa bin Pengiran Haji Aliuddin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Emiriah Arab Bersatu, TYT Haji Harun bin Haji Junid; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kuwait, TYT Haji Ahmad bin Haji Jumat; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki, TYT Awang Mohd Shafiee bin Haji Kassim. (Klik di sini untuk berita lanjut)