Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan kurnia titah sempena Majlis Konvokesyen UTB

    Oleh Sim Y. H

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Prestasi institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam dalam kedudukan ranking dunia adalah selaras dengan aspirasi ke arah mencapai sasaran matlamat Wawasan Brunei 2035 berlandaskan kepada konsep Melayu Islam Beraja.

    “Beta berharap usaha institusi-institusi pengajian tinggi untuk memberi impak di persada global dapat diteruskan.”

    “Beta ingin mengingatkan kepada UTB untuk bukan sahaja memfokuskan kepada pencapaian akademik sahaja bahkan meningkatkan kemudahan-kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi para tenaga pengajar dan penuntut UTB.”

    Peringatan itu disuarakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda Bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) ke-13, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah semasa majlis konvokesyen berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Menyentuh mengenai inovasi, Baginda bertitah, UTB telah mencapai kematangan dengan kurikulum pembelajaran dan penyelidikan dan telah berhasil memberi impak signifikan kepada budaya inovasi.

    “Dalam peringkat kebangsaan dan ASEAN, UTB telah berjaya memajukan pemikiran inovatif melalui penganjuran Pertandingan CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota selama dua dekad.”

    “Pertandingan CIPTA berfungsi sebagai platform untuk mengetengahkan idea-idea bernas yang mampu memberikan impak signifikan dan menjadi sebahagian daripada gerakan inovasi global.

    Baginda bertitah, “Inovasi yang Beta maksudkan di sini adalah penyelesaian teknologi global melalui kecerdasan buatan (AI), teknologi iklim dan teknologi mendalam atau deep tech untuk memacu kemampanan dan membentuk semula hala tuju industri.”

    Baginda Sultan menzahirkan harapan supaya semua pihak akan dapat bersama-sama mendokong usaha ke arah memastikan budaya inovasi itu boleh menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang mampan dalam menjana peluang pekerjaan kepada graduan-graduan tempatan.

    “Beta turut difahamkan bahawa UTB mempunyai kerjasama yang rapat bersama industri melalui penyelidikan dan inovasi dalam kampus seperti projek Solar Farm dan projek Electric Vehicles (EV) serta Stesen Pengecasan EV.”

    “Makmal-makmal yang sedia ada dalam kampus iaitu Huawei ICT Academy, CISCO Networking Academy, AI Machinery Lab dan Sand Retention Innovation Lab juga menyokong pembangunan UTB sebagai sebuah hab inovasi.”

    Kerjasama yang terjalin antara UTB dan industri merupakan peluang untuk membangunkan inisiatif serta keupayaan penyelidikan dan inovasi, titah Baginda Sultan lagi.

    “Beta menasihatkan supaya UTB, bersama institusi pengajian tinggi yang lain, terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan melalui platform inovasi negara yang sedia ada.”

    Baginda Sultan turut bertitah menyeru graduan-graduan untuk menggunakan ilmu yang ada khususnya dengan kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan untuk meneroka industri-industri baru khususnya industri digital dan kreatif untuk mempelbagaikan lagi ekonomi dan membukakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan atau keusahawanan.

    Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda Sultan bertitah telah melancarkan Majlis Penulisan Mushaf UTB dan menzahirkan titah bahawa Mushaf ini akan menjadi kepala dalam setiap perarakan Majlis Konvokesyen UTB.

    “Ini menandakan bahawa UTB tidak ketinggalan dalam memartabatkan Mushaf sebagai ‘lambang ilmu yang tidak ada tolok bandingnya.’ Alhamdulillah, pada hari ini, buat julung kalinya, Mushaf UTB tulisan tangan telah dijulang dan diarak sebagai mengetuai perarakan Majlis Konvokesyen pada pagi ini.”

    Baginda Sultan juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada UTB atas penampilan sulung dalam kedudukan dunia Times Higher Education 2025 yang berprestij.

    “Sementara itu, kedudukan terkini dalam QS World University Ranking 2026 menunjukkan bahawa UTB kini berada di tangga kesembilan di kalangan universiti kejuruteraan dan teknologi di ASEAN.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda