Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan lancar buku Negara Ditanai Dengan Sedekah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan melancarkan buku bertajuk Negara Ditanai Dengan Sedekah/The Country is Upheld with Charity sempena Majlis Perasmian Majlis Ilmu yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Buku setebal 106 muka surat itu adalah hasil karya Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dan diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

    Penerbitan buku dwibahasa berkenaan didukung oleh semangat tinggi untuk menjelaskan tentang peranan sedekah termasuk kepentingannya dalam pentadbiran sesebuah kerajaan dan negara.

    Fadilat sedekah tidak dapat dipertikaikan lagi kebenarannya kerana ia telah muktamad disebut oleh Al-Quran dan hadis. Pahala dan kelebihan sedekah sangat besar, malah dianggap pengorbanan di jalan Allah. Harta dan diri bukanlah milik mutlak manusia, tetapi pinjaman daripada Allah. Oleh itu, apabila Allah SWT menyuruh supaya ia diinfakkan di jalan kebajikan, maka ia wajib ditunaikan dan tidak boleh ditahan kerana menahan harta bererti menahan pinjaman Allah SWT daripada turut dinikmati oleh hamba-hambaNya yang berhak menerimanya.

    Buku berkenaan menegaskan bahawa sedekah sebagai amal salih yang digalakkan dalam Islam adalah pengorbanan di jalan Allah. Tidak akan berkurang harta dengan bersedekah, bahkan semakin banyak dilakukan semakin besar ganjaran yang diterima sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sedekah menurut Al-Quran dan hadis adalah menambah harta, bukan mengurangkannya. Ia menolak bala, menghapus dosa dan mendapat doa malaikat.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan melancarkan buku bertajuk Negara Ditanai Dengan Sedekah/The Country is Upheld with Charity sempena Majlis Perasmian Majlis Ilmu di ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pelancaran buku Negara Ditanai Dengan Sedekah/The Country is Upheld with Charity pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Disebabkan raja dan kerajaan mendisiplinkan Brunei ditanai de-ngan sedekah, maka keberkatan tumbuh di negara ini. Negara menjadi aman makmur, rakyat bersatu padu, dan yang paling luar biasa Brunei bebas daripada musibah hutang.

    Buku itu juga menghuraikan bagaimana Brunei Darussalam benar-benar ditanai, ditatang, ditadbir dan diurus dengan sedekah. Sejak awal sejarah lagi, bukti dapat dilihat pada zaman Sultan Brunei ketiga, Sultan Sharif Ali yang bersedekah dakwah dengan membawa seluruh rakyat Brunei memeluk Islam.

    Antara yang turut digariskan ialah jasa besar Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28, yang sepanjang pemerintahan Baginda, sentiasa berhias dengan niat suci untuk rakyat, negara dan agama. Dalam masa pemerintahan baginda, niat suci tersebut disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Salah satu contoh nyata ialah kurnia sedekah berupa pencen tua bulanan seumur hidup untuk warga emas di seluruh negara, yang masih dinikmati oleh rakyat hingga ke hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, turut digariskan sebagai raja yang memiliki niat suci sama untuk rakyat, negara dan agama. Baginda mempunyai visi jauh untuk kesejahteraan negara, antaranya mengislamkan undang-undang serta bersedekah amal salih dengan mengharamkan arak demi mendapatkan keberkatan dan rahmat, serta untuk menjauhkan laknat.

    Banyak lagi niat suci Baginda yang dijelmakan menjadi kenyataan, antaranya membuka pintu-pintu subsidi, bantuan, pemedulian dan menubuhkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terus sahaja berfungsi tanpa ditutup.

    Melalui catatan berharga ini, buku Negara Ditanai Dengan Sedekah menyerlahkan falsafah bahawa sedekah adalah asas kepada keberkatan, kesejahteraan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda