Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan lawat Pasar BARU

    Oleh Syahmi Hassan & Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini, berkenan berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong untuk melihat secara lebih dekat aktiviti-aktiviti jual beli di pasar baru berkenaan.

    Keberangkatan Baginda yang tidak disangka-sangka itu ternyata menggembirakan para peniaga yang jelas mencerminkan keprihatinan dan sikap pemedulian Baginda terhadap soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Semasa lawatan, Baginda berkenan beramah mesra dengan para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti kategori salai menyalai, masak-memasak, sayur dan buah, aneka aksesori dan pakaian serta tidak ketinggalan juga kategori masak-memasak dan pra-masak untuk para graduan dan lepasan graduan.

    Sejak awal keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia, para peniaga dan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjunjung kasih, beramah mesra serta bergambar bersama Baginda.

    Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang merupakan pasar terbesar dan terkenal di Negara Brunei Darussalam, menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong asing yang datang ke Negara Brunei Darussalam.

    Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan peniaga Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang baru.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan peniaga Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang baru.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama rakyat semasa berangkat ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama rakyat semasa berangkat ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

    Baginda Sultan berkenan melawat ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
    Baginda Sultan berkenan melawat ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

    Media Permata sempat menemu bual para peniaga terutama yang terdiri daripada para graduan dan lepasan graduan di pasar berkenaan mengenai perasaan mereka atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke pasar berkenaan.

    “Menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas peluang yang telah diberikan kepada kami selaku graduan untuk berniaga di pasar ini,” kata Awang Muhammad Salehulbahri bin Haji Marzuki dan Dayang Norhafilah binti Haji Amin yang menjual makanan seperti bubur kaicok, popia berkeju, kuih-muih tempatan serta hidangan mi dan nasi yang lain.

    “Malam ini merupakan malam yang sangat berharga buat kami. Lawatan Baginda pada malam ini adalah sangat mengejutkan dan menggembirakan buat kami.

    “Kami sempat beramah mesra bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Baginda bertanya beberapa soalan mengenai perniagaan kami, seperti apa produk yang kami jual dan adakah kami sendiri menghasilkannya,” jelas Dayang Norhafilah.

    Manakala itu, Awang Hasanol Irsyad bin Haji Asnan bersama rakan-rakan niaga juga menjunjung kasih kehadapan majlis KDYMM atas peluang yang telah diberikan kepada mereka.

    “Dengan hanya menyewa kawasan/tempat ini dengan harga yang begitu rendah, ianya adalah merupakan peluang keemasan buat kami untuk mencari pengalaman dan pengajaran yang ada dalam dunia perniagaan,” jelas beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda