BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Minister of State at Ministry of Defence, United Kingdom (UK), Baroness Annabel Goldie DL.
Mengiringi Baroness Goldie pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, TYT Richard Lindsay dan Ketua Dasar dan Strategi Antarabangsa-Indo Asia-Pasifik, Trish Wilson OBE. Hadir sama ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Baroness Goldie berada di Negara Brunei Darussalam bagi kunjungan pengenalan bermula dari 24 hingga 26 September. Ini merupakan kunjungan pertama bagi Baroness Goldie ke Negara Brunei Darussalam sejak beliau dilantik sebagai Minister of State at the Ministry of Defence yang baharu pada Julai 2019.
Semasa berada di Negara Brunei Darussalam, Baroness Goldie juga berkesempatan untuk membuat lawatan kerja ke Seria di mana tentera British ditempatkan. Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom mempunyai hubungan dua hala yang erat, terutama setelah menandatangani perjanjian persahabatan dan kerjasama pada 7 Januari 1979, yang telah membuka lembaran kerjasama di pelbagai bidang, termasuk pertahanan.

