Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan menerima mengadap 14 orang delegasi yang terdiri daripada menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan wakil-wakil menteri yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN kali ke-41 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan yang diadakan pada 15 dan 16 Oktober 2019.
Juga berangkat pada majlis mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Pada majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Menteri di Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Veng Sakhon; Menteri di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia, TYT Datuk Seri Salahuddin bin Ayub; Menteri Kesatuan di Kementerian Pertanian, Ternakan dan Saliran, Kesatuan Myanmar, TYT Dr Aung Thu; Setiausaha Pertanian di Jabatan Pertanian, Republik Filipina, TYT Dr William D Dar; Menteri untuk Alam Sekitar dan Sumber-sumber Air, Republik Singapura, PYT Dr Amy Khor; Menteri di Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Republik Rakyat China, TYT Han Changfu; dan Menteri Negeri di Kementerian Pertanian dan Kebajikan Peladang, Republik India; TYT Kailash Choudhary.
Baginda Sultan turut berkenan me-nerima mengadap Timbalan Menteri di Kementerian Pertanian dan Perhutanan, Republik Demokratik Rakyat Laos, TYT Bounkhouang Khambounheuang; Tim-balan Menteri di Kementerian Pertanian dan Koperasi, kerajaan Thailand, PYT Mananya Thaiset; Timbalan Menteri di Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Republik Sosialis Vietnam, TYT Le Quoc Doanh; Naib Menteri Perlimen, Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, Jepun, TYT Shinya Fujiki; Setiausaha Agung, Sekretariat ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi; Setiausaha Agung di Kementerian Pertanian, Republik Indonesia, TYT Dr Momon Rusmono; dan Ketua Pengarah selaku wakil Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, Republik Korea, Yoon Dong-Jin.
Hadir di majlis mengadap tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Sementara itu dalam majlis berasingan di tempat yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenaan menerima mengadap Menteri Luar Negeri Malaysia, TYT Dato’ Saifuddin Abdullah.
Hadir mengiringi Menteri Luar Negeri Malaysia ialah Timbalan Setiausaha Kanan I (Hubungan Dua Hala) Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, TYT Dato’ Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Ismail bin Haji Salam.
Juga hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

