BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi, berkenan menerima mengadap 13 orang delegasi yang terdiri daripada menteri-menteri serta wakil menteri-menteri negara anggota ASEAN yang bertanggungjawab ke atas penerangan, negara-negara Plus Three, Republik Demokratik Timor-Leste dan juga Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Delegasi berkenaan berada di negara ini bagi menghadiri Persidangan Menteri-menteri ASEAN Yang Bertanggungjawab ke atas Penerangan (AMRI) ke-17 dan Persidangan AMRI Plus Three ke-8 yang telah berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong pada 7 hingga 8 Mei.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Menteri Penerangan Kemboja, Tuan Yang Terutama Neth Pheaktra; Menteri Penerangan Myanmar, TYT Maung Maung Ohn; Minister attached to the Prime Minister’s Office Thailand, Puan Yang Terutama Jiraporn Sindhuprai; Secretary of State for Social Communication Timor-Leste, TYT Expedito Loro Dias Ximenes; Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, TYT Le Hai Binh; Undersecretary for Integrated Presidential Messaging (under the Presidential Communications Office), Filipina, TYT Michael Lim Ubac; Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN, TYT San Lwin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, PYT Sengdavanh Vongsay; Timbalan Setiausaha (Ekonomi Digital dan Antarabangsa), Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Hong Yuen Poon; Director General of Public Communications and Media, Kementerian Komunikasi dan Digital, Republik Indonesia, Fifi Aleyda Yahya; Director-General for International Affairs, Global Strategy Bureau, Ministry of Internal Affairs and Communications, Jepun, Nomura Eigo dan Deputy Head of the Publicity Department of the Communist Party of China, Wang Gang.
Turut hadir pada majlis mengadap tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Persidangan AMRI ke-17 dan AMRI Plus Three ke-8 dan Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohammad Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
AMRI ke-17 membawa tema “MAJU Media Advancing Joint Understanding”: Transforming Media’s Role in Advancing Cooperation and Mutual Understanding. Tema ini memberi tumpuan kepada memajukan kerjasama dalam menjangka masa depan media dan penyiaran ASEAN, ke arah memastikan AMRI dapat bersedia secara kolektif dalam menyediakan bahan atau kandungan yang mampu menarik perhatian penonton pada masa akan datang, di samping melabur secara strategik dalam mentransformasi landskap media jangka panjang.
Persidangan AMRI ke-17 telah meluluskan ‘Bandar Seri Begawan Declaration to Reaffirm the ASEAN Ministers Responsible for Information’s Commitment to Strategic Progress in Media and Information’ dan ‘Kuala Lumpur Declaration on Safe and Responsible Use of Social Media Platforms’, yang akan seterusnya dihadapkan ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk diluluskan oleh Pemimpin-pemimpin ASEAN.
Selain itu, Menteri-menteri AMRI juga telah meluluskan Kenyataan Media Bersama bagi AMRI ke-17 dan Mesyuarat-mesyuarat berkaitan.