Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dr Ceri M. Powell yang akan menamatkan perkhidmatan dan Pengarah Urusan BSP yang baru dilantik, Agnete Johnsgaard-Lewis di Istana Nurul Iman, petang tadi.
Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan pengarah-pengarah urusan Syarikat BSP tersebut antara lainnya membincangkan mengenai perkara-perkara bagi mengukuhkan kerjasama yang telah lama terjalin di dalam sektor minyak dan gas di antara Syarikat-Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJVC) dan Syarikat Royal Dutch Shell Plc.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Menteri Tenaga, Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dan Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Terdahulu pada sebelah pagi, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BSJVC berkenan menerima mengadap Dr Ceri M. Powell dan Agnete Johnsgaard-Lewis di Istana Nurul Iman.
Semasa majlis mengadap tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dan pengarah-pengarah urusan Syarikat BSP tersebut telah membincangkan aktiviti-aktiviti utama yang dilaksanakan oleh BSJVC, perkembangan keupayaan pekerja tempatan dan peluang-peluang untuk memacu perkembangan sektor minyak dan gas negara secara berterusan dan berdayatahan.
Turut hadir semasa majlis mengadap pada sebelah pagi itu ialah Yang Berhormat Menteri Tenaga dan Timbalan Menteri Tenaga.

