Berkenan menerima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Australia, Puan Yang Terutama Senator Linda Reynolds di Istana Nurul Iman.

Menyertai PYT Menteri Pertahanan Australia itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, PYT Tiffany McDonald; Timbalan Setiausaha Dasar Strategik dan Perisikan, Peter Tesch dan Penasihat Kanan kepada Menteri Pertahanan Australia, Mikaela James.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan kerjasama pertahanan rapat dan sudah lama terjalin yang diperkukuhkan lagi dengan penandatanganan memorandum persefahaman mengenai dengan penyertaan ABDB dalam program latihan ketenteraan dan eksesais di Australia (1985), dan seterusnya mengenai dengan Kerjasama dalam Aktiviti Pertahanan yang Lebih Luas (1999).

Hubungan pertahanan dua hala ini juga merangkumi pelbagai bentuk interaksi termasuk pertukaran lawatan, lawatan muhibah kapal tentera, latihan dan kursus, dan saling bekerjasama di Peringkat Pelbagai Hala di bawah rangka kerja Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN+ (ADMM-Plus).

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima pesambah daripada Menteri Pertahanan Australia, PYT Senator Linda Reynolds pada majlis mengadap di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Australia, PYT Senator Linda Reynolds di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto