Oleh Sim Y. H. & Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdulaziz bin Saad Al Muhanna di Istana Nurul Iman.
Tuan Yang Terutama juga telah mengadakan majlis mengadap kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di Qashr Al-Meezaan.
Tuan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 15 Januari 2019.
Secara berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Ketua Angkatan Pertahanan Australia, Jeneral Angus John Campbell, AO, DSC.
Menyertai Jeneral Angus John Campbell pada majlis mengadap itu ialah Pesuruh-jaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold; Penasihat Pertahanan Australia ke Negara Brunei Darussalam, Wing Commander Matthew Xerri; Senior Enlisted Adviser to Chief of the Defence Force, Australia, Pegawai Waran Ken Robertson; dan Pengarah Divisyen Dasar Antarabangsa, Malaysia, Filipina dan Brunei, Jabatan Pertahanan Australia, David Bolton.
Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai sejarah kerjasama pertahanan yang teguh dan terjalin lama yang disokong oleh kerjasama pertahanan dua hala yang komprehensif merangkumi lawatan, pertukaran profesional, eksesais, latihan dan kursus.
Hubungan pertahanan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Australia turut diperkukuhkan melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Bidang Pertahanan pada 10 Mei 1999.
Jeneral Angus John Campbell dan rombongan berada di negara ini bagi lawatan rasmi selama dua hari, hingga hari ini.