Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Berkenan menerima mengadap

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan menerima mengadap Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam serta rombongan yang berada di negara ini bagi lawatan negara selama tiga hari.

    Terdahulu sebelum itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berangkat bersama Presiden Republik Singapura dan isteri dari The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.

    Di sepanjang jalan menuju ke Istana Nurul Iman, Tuan Yang Terutama dan isteri disambut dengan pengibaran bendera kecil kedua-dua buah negara oleh seramai kira-kira 3,000 orang penuntut dan guru-guru dari 17 buah sekolah kerajaan dan swasta.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat bersama Presiden Singapura, TYT Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam di pentas khas untuk menerima tabik hormat dan diiringi lagu kebangsaan kedua-dua buah negara serta 21 das tembakan meriam. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    MAJLIS SAMBUTAN NEGARA

    Lawatan negara yang juga merupakan lawatan pengenalan Tuan Yang Terutama dan isteri dimulakan dengan Majlis Sambutan Negara, di mana Baginda Sultan dan
    Baginda Raja Isteri berangkat mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama dan isteri di perkarangan Istana Nurul Iman dan seterusnya berangkat bersama-sama Tuan Yang Terutama dan isteri naik ke pentas khas untuk menerima tabik hormat dan diiringi lagu kebangsaan kedua-dua buah negara serta 21 das tembakan meriam.

    Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Baginda Sultan berkenan mengadakan perjumpaan dua hala bersama TYT Tharman Shanmugaratnam. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap TYT Tharman Shanmugaratnam dan Jane Ittogi Shanmugaratnam. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat pada majlis mengadap di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tuan Yang Terutama dan isteri seterusnya diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemerintah ABDB, ahli-ahli MMN, ketua-ketua perwakilan asing dan setiausaha-setiausaha tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri berserta pasangan masing-masing.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya disembah kenalkan kepada ahli-ahli rombongan Presiden Republik Singapura termasuk Menteri Pembangunan Negara, Tuan Yang Terutama Desmond Lee; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman dan Menteri Negara bagi Pendidikan dan Tenaga Manusia, Puan Yang Terutama Gan Siow Huang.

    MAJLIS MENGADAP

    Selesai Majlis Sambutan Negara, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat bersama Presiden Republik Singapura dan isteri ke Cheradi Laila Kenchana bagi majlis mengadap.

    Berangkat sama ke majlis mengadap tersebut ialah kerabat diraja. Juga hadir ialah rombongan Republik Singapura serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku menteri pengiring dan isteri.

    MAJLIS PERJUMPAAN DUA HALA

    Selepas majlis mengadap, Baginda Sultan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Presiden Republik Singapura di Cheradi Ratna Kenchana.

    Semasa majlis perjumpaan berkenaan, Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama mengesahkan semula hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan mengakui kepentingan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik pada tahun ini.

    Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan beberapa siri acara komemoratif bagi memperingati peristiwa penting ini dan bersetuju menerokai usaha-usaha untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala dengan mengetengahkan tiga bidang utama iaitu pertukaran antara masyarakat, tenaga yang boleh diperbaharui dan jaminan sekuriti makanan.

    Ini merupakan lawatan negara pertama Tuan Yang Terutama ke luar negara sebagai Presiden Republik Singapura sejak pelantikannya pada 14 September 2023.

    Dalam memperingati Ulang Tahun ke-40 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura pada tahun ini, lawatan berkenaan akan memperkukuhkan lagi hubungan istimewa yang telah lama terjalin sejak pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan bekas Perdana Menteri Republik Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...