BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Republik Turkiye dan isteri-isteri ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik.
Pada majlis mengadap di Istana Nurul Iman, Baginda Raja Isteri berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Turkiye, Puan Yang Terutama Dayang Noni Zurainah binti Haji Ismi; Hajah Sarimah binti Haji Abu Bakar, isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid dan Datin Hajah Maimunah binti Haji Bakar, isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.