Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan menerima mengadap

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap TYT Salah Mubarak Musleh Al-Mutairi yang akan menamatkan perkhidmatannya. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

     

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, dan Setiausaha Agung ASEAN secara berasingan di Istana Nurul Iman, hari ini.

              Baginda menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Salah Mubarak Musleh Al-Mutairi yang akan menamatkan perkhidmatan.

              Tuan Yang Terutama telah menyembahkan surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 4 Februari 2019.

              Sementara itu, pada majlis berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr Kao Kim Hourn, yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini selama dua hari.

     

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap TYT Dr Kao Kim Hourn yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini selama dua hari. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

              Semasa majlis mengadap tersebut, Baginda menekankan semula komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam untuk memajukan kerjasama serantau melalui platform ASEAN.

    Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama juga menekankan kepentingan peranan Sekretariat ASEAN dalam menyokong negara anggota ASEAN melaksanakan usaha-usaha membina Komuniti ASEAN bagi memastikan keamanan dan kemakmuran serantau.

              Negara Brunei Darussalam akan menyambut ulang tahun ke-40 sebagai anggota ASEAN pada tahun ini.

              Brunei adalah salah satu daripada 10 buah negara anggota ASEAN, yang juga termasuk Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Vietnam.

              Turut hadir pada majlis-majlis mengadap ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda