Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap His Royal Highness Prince Faisal bin Al-Hussein, Presiden Jawatankuasa Olimpik Jordan yang berada di Negara Brunei Darussalam dari 13 hingga 16 April.
Semasa majlis mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan His Royal Highness mengesahkan kembali hubungan akrab antara Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Hasyimiah Jordan dalam bidang-bidang berkepentingan bersama seperti pendidikan dan pertukaran aktiviti sukan serta kebudayaan.
Baginda Sultan juga menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Jordan dalam memberi sokongan kepada Palestin, melalui usaha-usaha kemanusiaan dan menjadi pengantara dalam perjanjian gencatan senjata.
Juga berangkat semasa majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
His Royal Highness Prince Faisal berada di Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Seminar Kesaksamaan Jantina Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-2 yang diadakan pada 12 hingga 16 April.
Seminar berkenaan bertujuan untuk membincangkan inisiatif-inisiatif strategik yang menggalakkan kesaksamaan jantina, memperkasa perempuan dan wanita di semua peringkat sukan dan menghapuskan sekatan di kalangan komuniti sukan.
Sementara itu, pada acara berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri yang akan menamatkan perkhidmatan pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.
TYT Alok Amitabh Dimri telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 24 Mei 2022.
Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Lft. Jen. TNI (Purn) Dr Sjafrie Sjamsoeddin di Istana Nurul Iman.
Menyertai TYT Menteri Pertahanan Republik Indonesia ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Profesor Dr Achmad Ubaedillah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan, Republik Indonesia.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia telah menjalinkan hubungan dua hala yang rapat dan mesra yang diperkukuhkan melalui hubungan diplomatik lebih dari empat dekad.
Salah satu pencapaian penting dalam hubungan ini adalah penubuhan kerjasama dalam bidang pertahanan yang telah dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Pertahanan pada 10 April 2003.
Kedua-dua buah negara telah mengukuhkan hubungan dua hala ketenteraan melalui pelbagai kerjasama termasuk pertukaran lawatan di peringkat tinggi, mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama dan Jawatankuasa Peringkat Tinggi BRUNESIA, latihan ketenteraan bersama, pertukaran program kursus serta aktif dalam kerjasama pelbagai hala khususnya dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
Ini merupakan lawatan pertama TYT Lft. Jen. TNI (Purn.) Dr Sjafrie Sjamsoeddin sejak dilantik menjadi Menteri Pertahanan Republik Indonesia pada 21 Oktober 2024.