Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap Panglima Pasukan Pertahanan Timor-Leste, Leftenan Jeneral Domingos Raul ‘Falur Rate Laek’ yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Menyertai Leftenan Jeneral Domingos Raul ‘Falur Rate Laek’ pada majlis mengadap berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.
Pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Sengdavanh Vongsay yang akan menamatkan perkhidmatan.
Puan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 24 Mei 2022.
Sementara itu, di ruang berasingan di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap isteri kepada Panglima Pasukan Pertahanan Timor-Leste, Rosa Maria Quintao dan isteri kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Ana Guterres.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Timor-Leste telah menjalinkan hubungan diplomatik dua hala yang mesra dan harmoni, berlandaskan prinsip saling menghormati serta aspirasi serantau yang seiring.
Hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara telah dimeterai secara rasmi pada 20 Mei 2002.
Meskipun kerjasama dalam bidang pertahanan masih pada skala yang agak sederhana, kedua-dua negara terus mengekalkan penglibatan yang membina, terutamanya menerusi platform pelbagai hala seperti Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lawatan tersebut merupakan lawatan pertama Leftenan Jeneral Domingos Raul ‘Falur Rate Laek’ ke Negara Brunei Darussalam sejak beliau dilantik menjadi Panglima Pasukan Pertahanan Timor-Leste pada 2 Februari 2022.
Beliau berserta rombongan berada di negara ini bagi lawatan rasmi selama empat hari hingga 15 Mei.