BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan asing dan isteri-isteri ketua perwakilan asing yang baharu ke negara ini, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Semasa majlis tersebut, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima mengadap perpisahan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie, yang akan menamatkan perkhidmatan.
Puan Yang Terutama diiringi oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD, Catherine Pochkhanavala-Cleeve.
Sementara itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke NBD, PYT Eve Lubin juga mengadap kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
Selain itu, menurut Pelita Brunei, Baginda Raja Isteri juga berkenan menerima mengadap isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke NBD, Tuan Yang Terutama Mohammad Taghi Rajabi iaitu Hoda Rajabi dan isteri kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke NBD, TYT Sun Nahm-kook iaitu Ha Ji Hoon.