Monday, July 14, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan menerima mengadap

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang kelmarin berkenan menerima mengadap Federal Councillor, Head of the Federal Department of Foreign Affairs of the Swiss Confederation, Tuan Yang Terutama Ignazio Cassis, yang mengadakan lawatan rasmi buat pertama kalinya ke Negara Brunei Darussalam dari 11 hingga 12 Julai, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

    Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berbincang bagi meningkatkan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Switzerland yang telah terjalin sejak tahun 1984.

    Kedua-dua buah negara mengalu-alukan lebih banyak lagi pertukaran antara rakyat bagi memperkukuhkan sikap saling memahami melalui program-program pembangunan kapasiti.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada Switzerland yang menjadi tuan rumah kepada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa serta komitmen konsisten negara tersebut terhadap multilateralisme dan diplomasi.

    Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Switzerland ke Negara Brunei Darussalam dan Singapura TYT Frank Grutter.

    Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

    Dalam acara berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan, Puan Yang Terutama Ambra Dickie.

    Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berkenan menerima mengadap PYT Ambra Dickie pada ruang berasingan di Istana Nurul Iman.

    Puan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 20 Oktober 2022.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, baru-baru ini berkenan menerima mengadap Federal Councillor, Head of the Federal Department of Foreign Affairs of the Swiss Confederation, TYT Ignazio Cassis, yang mengadakan lawatan rasmi buat pertama kalinya ke Negara Brunei Darussalam dari 11 hingga 12 Julai, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap TYT Ignazio Cassis. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menerima mengadap PYT Ambra Dickie. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berkenan menerima mengadap PYT Ambra Dickie. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda