Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap secara berasingan Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Singapura dan ketua-ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan, di Istana Nurul Iman hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Singapura, Leftenan Jeneral Melyvn Ong yang turut diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.
Turut hadir ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura telah menikmati hubungan yang sangat baik dan terjalin lama, di mana aspek pertahanan dan ketenteraan adalah salah satu ciri utama.
Kedua-dua negara mempunyai pengaturan pertahanan yang luas dan sering berinteraksi secara kerap melalui pelbagai saluran kerjasama, termasuk pertukaran lawatan, mesyuarat berperingkat dasar dan pertukaran, eksesais serta kursus ketenteraan di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Singapura.





Manakala dalam majlis mengadap ketua-ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dr Fahad Mashary Al-Thafiri yang menyembahkan surat tauliah pelantikannya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 9 Disember 2013.
Baginda Sultan seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak kerajaan Thailand ke Negara Brunei Darussalam, TYT Biravij Suwanpradhes yang telah menyembahkan surat tauliah pelantikannya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 23 Mac 2016.
Sementara itu, di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap secara berasingan isteri Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Singapura, Nicole Lynn McCully dan isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Supinya Suwanpradhes.
Turut hadir pada majlis mengadap Nicole Lynn ialah isteri Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Datin Hajah Rasidah binti Haji Ibrahim.