Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan menerima mengadap secara berasingan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Puan Yang Terutama Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini selama dua hari, di Istana Nurul Iman.
Mula-mula, Baginda Sultan berkenan menerima mengadap PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Menyertai bersama PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah pada Majlis Mengadap tersebut ialah Timbalan Menteri Luar Malaysia, Senator Datuk Marzuki bin Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha, Raja Datuk Nushirwan bin Zainal Abidin; Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar bin Mohd Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam (Designate), Tuan Yang Terutama Ismail bin Salam.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Selepas Majlis Mengadap tersebut, di ruang lain di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga berkenan mene-rima mengadap PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Turut hadir pada Majlis Mengadap tersebut ialah isteri Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Pengiran Datin Salwana binti Pengiran Haji Ibrahim; isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah, dan isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam (Designate), Rosita binti Ismail.


