Berkenan menerima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi, berkenan menerima mengadap Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Kentaro Sonoura.

Menyertai TYT Kentaro Sonoura semasa majlis mengadap di Qashr Al-Meezaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dan Pengarah Bahagian Asia Tenggara Kedua, Jabatan Hal Ehwal Asia Tenggara dan Barat, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Shingo Miyamoto.

Turut hadir pada majlis mengadap tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.

TYT Kentaro Sonoura dan delegasi berada di negara ini bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menerima mengadap TYT Kentaro Sonoura. – Gambar Infofoto