BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik pada majlis yang berlangsung di Qashr Al-Meezaan.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Turkiye, Puan Yang Terutama Dayang Noni Zurainah binti Haji Ismi.
Ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik tersebut menerima surat-surat watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Februari.



