IPOH, 27 Feb – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan menerima mengadap Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis mengadap tersebut berlangsung di Aman Jaya Convention Centre, Casuarina @ Meru, Bandar Meru Jaya, Ipoh, Perak sejurus selepas Yang Berhormat Pehin membentangkan kertas kerja utama di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Jamadilakhir, 1439 bersamaan 26 Februari, 2018.
Mengiringi Yang Berhormat Pehin dalam majlis mengadap tersebut ialah Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Yang Amat Berhormat Dato Seri Diraja Dr Zambry bin Abdul Kadir dan Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, Sahibus Samahah Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Haji Harussani bin Haji Zakaria.
