Wednesday, October 23, 2024
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan menerima mengadap Naib Presiden China

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang ini berkenan menerima mengadap Naib Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Han Zheng yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

    Pada majlis mengadap itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama telah berbincang secara meluas mengenai hubungan dua hala yang berada di tahap yang sangat baik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

    Menyentuh mengenai hal-hal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, Baginda dan Tuan Yang Terutama juga bersetuju terhadap keperluan untuk bekerjasama lebih rapat demi kepentingan bersama kedua-dua buah negara.

    Ini merupakan lawatan rasmi Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya sejak dilantik sebagai Naib Presiden Republik Rakyat China, di mana lawatan ini akan mengesahkan kembali hubungan mesra dan rapat di antara kedua-dua buah negara.

    MAJLIS MENGADAP DI QASHR AL-MEEZAN

    Sementara itu pada majlis mengadap berasingan yang berlangsung di Qashr Al-Meezan pada sebelah pagi tadi, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga berkenan menerima mengadap Tuan Yang Terutama Han Zheng.

    Selepas majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia kemudian berangkat bersama Tuan Yang Terutama bagi Majlis Santap Tengah Hari.

    Berangkat ke majlis itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Turut hadir semasa majlis-majlis mengadap tersebut ialah delegasi Republik Rakyat China yang terdiri daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, TYT Xiao Jianguo; Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong; Timbalan Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Zhang Xingwang; Pemangku Perwakilan Perdagangan Antarabangsa di Kementerian Perdagangan, Li Yongjie; Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Zhang Zheng; Setiausaha Agung Pembangunan Nasional dan Suruhanjaya Reformasi, Wu Hao; Ketua Pengarah, Pejabat Penyelidik, Pejabat Am Jawatankuasa Tengah CPC, Lin Longbin; Duta di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Yu Hong dan Pemangku Ketua Pengarah, Department of Press Communication and Public Diplomacy, Kementerian Luar Negeri, Hu Jian.

    Juga hadir ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menerima mengadap Naib Presiden Republik Rakyat China, TYT Han Zheng yang berlangsung di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap TYT Han Zheng di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan menerima mengadap TYT Han Zheng di Qashr Al-Meezan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda