Sunday, November 17, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan menerima mengadap Yang di-Pertuan Agong Malaysia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini berkenan menerima mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

    Terdahulu sebelum itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku wakil peribadi Baginda Sultan; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu-alukan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong dan seterusnya berangkat bersama-sama menuju ke Istana Nurul Iman.

    Juga berangkat ke The Empire Brunei ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Kerabat Diraja Pengiring dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat mengalu-alukan keberangkatan tiba Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong di perkarangan Istana Nurul Iman, dan seterusnya sama-sama naik ke pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan 21 das tembakan meriam.

    Baginda Sultan dan Baginda Yang di-Pertuan Agong kemudiannya beredar memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri semasa berkenan menerima pesambah daripada Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha semasa berkenan menerima mengadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu-alukan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah dan YAM Tunku Idris Iskandar. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YAM Tunku Idris Iskandar semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis mengadap tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam semasa berkenan berangkat ke majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis Sambutan Kenegaraan diteruskan dengan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong disembahkenalkan kepada kerabat diraja; Yang Amat Mulia pengiran-pengiran cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; timbalan-timbalan menteri; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan setiausaha-setiausaha tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; serta pasangan masing-masing.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong.

    Selesai Majlis Sambutan Kenegaraan berkenaan, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat bersama Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong ke Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman bagi Majlis Mengadap.

    Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah kerabat diraja. Turut berangkat mengiringi Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar, Tunku Temenggong Johor.

    Hubungan erat yang berterusan antara kerabat diraja Negara Brunei Darussalam dan Malaysia jelas kelihatan melalui keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

    Selain itu, Baginda Yang di-Pertuan Agong juga sering mengadakan kunjungan muhibah ke Negara Brunei Darussalam dan menghadiri istiadat-istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran, yang semakin mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua kerabat
    diraja.

    Sejak menjalin hubungan diplomatik pada Januari 1984, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia menikmati hubungan kerjasama dua hala yang kukuh dan mesra dalam pelbagai bidang penting, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan kesalinghubungan serta kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda