Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H.
Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Keberangkatan Baginda dijunjung oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Baginda mula-mula berkenan melawat ke bahagian pentadbiran seterusnya meninjau bilik-bilik kuliah, kantin, perpustakaan, surau, asrama siswa dan siswi yang menempatkan 119 orang mahasiswa dan 180 orang mahasiswi sebelum berkenan mengurniakan titah di auditorium universiti berkenaan.
UNISSA mula beroperasi dengan 107 orang pelajar dan kini berjaya menempatkan 1,500 pelajar dalam pelbagai bidang ijazah sarjana muda dan pasca sarjana dengan purata peningkatan pelajar baharu sebanyak 17 peratus.
Sehingga kini, UNISSA telah menempatkan 181 orang pelajar antarabangsa dari 25 buah negara dalam pelbagai bidang dan peringkat.
Turut hadir sepanjang lawatan tidak berjadual Baginda Sultan ke universiti berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.