Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan menghadiri Mesyuarat Post-Mortem Sukan Olimpik ke-33

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT- Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) selaku ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan berkenan berangkat ke Mesyuarat Post-Mortem Sukan Olimpik ke-33, Paris, Perancis pada 26 Julai hingga 11 Ogos lalu, yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Dalam sembah alu-aluannya, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad merakamkan perasaan terima kasih atas kehadiran ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan, perwakilan persatuan-persatuan sukan kebangsaan, atlet dan pasukan ke mesyuarat berkenaan dalam sama-sama memberikan sumbangan serta pandangan buah fikiran ke arah mencapai kecemerlangan sukan.

    Beliau menyembahkan bahawa Negara Brunei Darussalam pertama kali menyertai Sukan Olimpik di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1984 dan telah mengambil bahagian dalam beberapa edisi seterusnya.

    Negara, tambahnya lagi, telah menghantar atlet-atlet dalam pelbagai sukan melalui program Universality Places, yang membolehkan atlet bersaing walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan tertentu.

    “Melalui program ini, atlet-atlet berpeluang untuk mendapat pendedahan di pentas antarabangsa.”

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menghadiri Mesyuarat Post-Mortem Sukan Olimpik ke-33, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara peserta Olimpik yang hadir semasa mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Yang Berhormat Dato menyembahkan pada kejohanan Sukan Olimpik ke-33, Brunei menyertai dua acara sukan dengan tiga atlet daripada sukan renang dan sukan olahraga di bawah program Universality Places OIC.

    Beliau menyatakan bahawa penyertaan mereka itu amat berharga dalam memperkukuh hubungan persahabatan antara negara-negara dan selain itu, pengalaman yang diperoleh membolehkan atlet dan pegawai sukan kita mempelajari teknik serta strategi daripada pesaing antarabangsa dan memahami budaya sukan yang berbeza.

    Penyertaan itu, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi merupakan simbol penting bagi pembangunan sukan negara, menunjukkan komitmen Brunei untuk melibatkan diri dalam arena sukan global.

    “Ia memberi inspirasi kepada generasi muda untuk aktif dalam sukan dan mengejar kecemerlangan. Dengan pengalaman yang diperoleh, diharapkan atlet-atlet kita dapat meningkatkan prestasi mereka dan mengharumkan nama negara pada masa akan datang.”

    Yang Berhormat Dato menyeru para atlet yang telah menyertai kejohanan berkenaan untuk menjadikan pengalaman bersaing dengan atlet-atlet dari negara yang mempunyai kelebihan fizikal dan pencapaian tinggi di peringkat antarabangsa sebagai satu cabaran untuk menggandakan usaha dalam meningkatkan prestasi untuk kejohanan peringkat serantau yang akan datang.

    “Atlet-atlet ini masih muda dan memiliki masa serta peluang yang besar untuk memperbaiki prestasi mereka dengan meningkatkan usaha melalui latihan yang konsisten.

    “Pengalaman ini seharusnya menjadi motivasi untuk mereka terus berusaha dan mencapai kejayaan pada masa depan.” Sembah Yang Berhormat Dato lagi. Mesyuarat diteruskan dengan Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa tertinggi terdiri daripada wakil Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam dan KKBS.

    Pada mesyuarat itu, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku chef de mission menyembah bentangkan Laporan Kontinjen ke Sukan Olimpik ke-33, Paris, Perancis 2024.
    Mesyuarat diakhiri dengan sesi soal jawab bersama perwakilan persatuan sukan kebangsaan, jurulatih dan atlet.

    Kontinjen negara telah menyertai sebanyak dua acara iaitu sukan olahraga diwakili oleh atlet, Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid berumur 28 tahun bagi acara 100 meter(m)lelaki dan sukan renang iaitu Zeke Chan Zhi Yue berumur 17 tahun bagi acara 100m kuak lentang lelaki dan atlet wanita negara Hayley Wong Ann Yue berumur 16 tahun dalam acara 50 meter renang bebas wanita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda