Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat bagi mengurniakan bendera panji-panji peribadi kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Berangkat sama dalam upacara istiadat gilang-gemilang dan penuh bersejarah di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis (PLP), Gadong itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita.
Sejurus keberangkatan, Baginda Sultan menerima tabik Hormat Diraja dan diikuti dengan memeriksa perbarisan kawalan-kawalan kehormatan dan kontinjen-kontinjen PPDB.
Kontinjen-kontinjen perbarisan melibatkan seramai 518 anggota polis dari jabatan-jabatan dan formasi-formasi di dalam PPDB di bawah Pegawai Pemerintah Perbarisan, Penguasa Polis Pengiran Farid Mahader bin Pengiran Haji Matzin.

Setelah memeriksa perbarisan, Baginda seterusnya dijunjung bagi penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang diikuti dengan menepung tawar dan disusuli dengan lau-ngan ‘Allahu Akbar’ diketuai oleh Pegawai Pemerintah Perbarisan.

Di upacara tersebut, turut mendengarkan bacaan ikrar taat setia PPDB oleh semua warga pasukan yang hadir dan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Gerakan, Penguasa Kanan Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah yang diikuti dengan tiga kali daulat untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI) PPDB, Timbalan Penguasa Polis Aimi Safwan bin Zalidin.
Baginda serta kerabat diraja yang lain kemudian berangkat ke Dewan Bankuet Mes bagi Majlis Santap Pagi, di mana Baginda Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, kemudiannya dijunjung untuk menandatangani lembaran kenangan dan juga dijunjung untuk menerima pesambah.
Setelah itu, Baginda serta kerabat diraja yang lain dijunjung untuk sesi bergambar bersama pemangku pesuruhjaya polis, pemangku timbalan pesuruhjaya polis, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai ahli jawatankuasa tertinggi upacara istiadat tersebut.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda berkenan menyaksikan pameran di Dewan Bankuet Mes yang memaparkan sejarah PPDB iaitu sejarah panji-panji PPDB, buku sejarah PPDB, alat-alat teknologi yang digunakan dalam meningkatkan kapabiliti penyiasatan dan kawalan dan penglibatan masyarakat seterusnya majlis ramah mesra bersama para jemputan.
Turut hadir ke istiadat tersebut, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Selain itu, timbalan menteri, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di JPM, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil pasukan polis termasuk mantan-mantan pesuruhjaya polis, mantan-mantan pegawai dan juga anggota PPDB juga turut hadir, menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah PPDB.
Penyerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, akan dapat memperkukuhkan lagi jati diri serta membakar semangat warga PPDB untuk terus setia dan berbakti kepada raja, bangsa dan negara.