Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah memperkenankan Cuti Ihsan semasa sesi penggal persekolahan mengikut garis panduan dan syarat yang ditetapkan bermula pada 1 Januari 2025.
Pengurniaan cuti ihsan bagi para guru tersebut adalah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah bagi memastikan kesejahteraan guru-guru dipeduli.
Baginda mengurniakan titah sempena Majlis Sambutan Hari Guru ke-34, Tahun 2024, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.
Menurut Baginda lagi, dalam suasana pembelajaran menjurus kepada cabaran baharu, kesejahteraan para guru selaku pemacu utama perubahan mestilah terus dijaga, aspek ini penting kerana ia mempengaruhi kerjaya para guru.
Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan, yang mana tema ini terus memberi fokus kepada guru selaku tonggak dan agen perubahan.
“Transformasi pendidikan bukan terhad kepada teknologi dan infrastruktur canggih semata-mata, tetapi juga bersifat yang lebih besar dari itu, dan ini termasuk aspek kesejahteraan untuk semua,” tegas Baginda.
Titah Baginda turut mengongsikan transformasi dalam sistem pendidikan di mana mata pelajaran Ugama telah diintegrasikan ke dalam sistem Pendidikan Umum bagi pelajar-pelajar Tahun 2 hingga Tahun 5.
“Perubahan ini boleh menyumbang kepada penggunaan masa lebih optimum di samping memperluaskan lingkungan aktiviti pembelajaran, tidak hanya terbatas kepada persekitaran bilik darjah,” titah Baginda lagi.
Tambah Baginda, pendekatan sebegini boleh memperkaya pengalaman pelajar melalui konteks baharu dan sekali gus merangsang kebolehan mereka beradaptasi di dunia yang semakin kompleks dan mencabar.
“Tetapi tidak bermakna pendidikan ugama diabaikan atau dianggap kurang penting. Semua pihak berkaitan perlu memahami perkara ini”.
Baginda dalam titahnya turut menyentuh mengenai persiapan pelajar untuk menghadapi cabaran kehidupan, yang mana Negara Brunei Darussalam telah menyertai satu penilaian antarabangsa anjuran Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) iaitu Programme for Student Assessment (PISA) pada tahun 2022.
“Terdapat peningkatan pencapaian dalam kesemua 3 ruang lingkup yang dinilai, berbanding pencapaian PISA 2018. Perkembangan yang baik ini tentunya terhasil daripada sokongan berterusan oleh para guru dalam memandaikan anak-anak Brunei,” titah Baginda.
Ini dibuktikan oleh dapatan dari PISA di mana pelajar-pelajar di negara ini merasakan guru-guru mereka sentiasa bersedia memberikan pertolongan atau sokongan, dan ini juga membuktikan betapa faktor guru adalah salah satu penyumbang utama dalam kejayaan pelajar.
Baginda dalam titahnya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para guru atas keprihatinan, komitmen, dan pengorbanan mereka kepada pelajar-pelajar di negara ini.
Titah Baginda lagi, kerajaan akan terus komited menyediakan peluang-peluang pembelajaran di dalam dan luar negeri, melalui pelbagai biasiswa yang ditawarkan.
Selain menyarankan supaya pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan memperkemaskan lagi dasar biasiswa kerajaan dengan membuka peluang lebih luas demi kepentingan pembangunan sumber tenaga manusia, selaras dengan tujuan memantapkan tenaga kerja yang berkualiti.
Di akhir titah, Baginda mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, dan semoga segala usaha serta sumbangan mereka yang sangat berharga itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT.
“Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penganugerahan ini akan menjadi sumber inspirasi dan pencetus semangat kepada semua warga guru,” titah Baginda lagi.