Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri kelmarin berkenan mengurniakan trofi kepada juara Kejohanan Butra HeidelbergCement Brunei (BHC) ADT 2019 dan juga sumbangan kepada dua organisasi amal.
Turut berangkat semasa acara tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. Juga hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem selaku pengerusi penganjur kejohanan tersebut, juga selaku peserta dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.
Turut menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pengerusi kejohanan, ahli jawatankuasa dan penaja kejohanan berkenaan.
Juga hadir pada majlis petang kelmarin ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
Pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan tersebut, Haji Mohd Junaidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman dalam sembah alu-aluannya berkata penganjuran kejohanan Jelajah Pembangunan Asia yang berprestij untuk kali kedua itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan golf dan pelancongan sukan di Brunei dan sudah tentu memberi inspirasi kepada pemain golf Brunei untuk meningkatkan taraf mereka.



Dalam pusingan terakhir kejohanan tersebut yang diadakan di Empire Hotel & Country Club, Jerudong itu, pemain Thailand, Prom Meesawat berjaya menewaskan Naoki Sekito dari Jepun, sekali gus meraih gelaran juara.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan mengurniakan trofi juara kejohanan tersebut kepada Prom Meesawat, yang juga membawa wang tunai berjumlah AS$13,125 dan seterusnya menyampaikan cek berjumlah $5,500 setiap satu kepada dua organisasi amal iaitu Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak yatim (DANA) dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam.
Sumbangan tersebut dikutip menerusi program kebajikan Birdies for Charity pada awal minggu di mana sejumlah 947 birdie direkodkan selepas empat pusingan dan menerusi sumbangan para penderma, program itu mengumpulkan sumbangan sebanyak $11,000.
Menerima bagi pihak DANA ialah ketua pegawai eksekutifnya, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, manakala Pusat Ehsan diwakili oleh Pemegang Amanah Kanan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab.
Sebanyak 144 pemain golf dari seluruh Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan dan Asia, termasuk 10 pemain golf tempatan mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan untuk tahun kedua berturut-turut di Padang Golf The Empire Hotel & Country Club.