Friday, March 21, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan menyaksikan Music Together 2 Showcase

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sekolah Muzik Yippy Tune meraikan ulang tahunnya ke-7 dengan lebih 300 orang pelajar membuat persembahan pada Music Together 2 Showcase yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), kelmarin.

    Berkenan berangkat ke acara tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berserta Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

    Semasa acara tersebut, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim telah membuat persembahan ensemble bertajuk He’s a Pirate bersama dua lagi pemain piano lain dan 10 pemain violin di hadapan kira-kira 700 penonton.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim turut membuat persembahan duet bersama YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah memimpin sembilan pemain piano lain dalam ensemble bertajuk A Million Dreams, lagu dari filem The Greatest Showman.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Yippy Tune, salah satu tarikan adalah ensemble muzik dinamakan Gypsy Dance yang melibatkan 60 pemain piano termasuk YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, yang terbesar dalam acara berkenaan.

    Sekolah berkenaan turut mencipta sejarah dalam acara itu apabila 202 orang pelajar membuat persembahan dalam ensemble piano berkumpulan, pertunjukan ensemble piano terbesar yang dianjurkan di Brunei.

    Kenyataan menyatakan, arahan dan koreografi bagi persembahan ulang tahun berkenaan dipimpin oleh akademi seni persembahan yang terkenal, Relentless dengan diarahkan oleh Amy Cheong dan Mardi Hedus.

    Ini merupakan usaha kerjasama berterusan antara Yippy Tune dan Relentless dalam menyokong acara masing-masing menerusi bimbangan antara guru-guru dalam tiga tahun kebelakangan.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan berangkat ke acara berkenaan. Turut berangkat ialah YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman.
    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan membuat persembahan piano semasa acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda